aww, I just read an article from Langit Ilahi
just to know the owner age is 21 years old
of course I like ‘wow’ expression, impress and
seriously I think his age is 25 and above.
I will paste one of his article here, and you can judge
his age (even I dah bagitau td) with ur own opinion
memandangkan kita baru je sambut maulidur rasul, I will paste his entry about Rasulullah s.a.w instead..
KEISTIMEWAAN : Baginda, adakah kita mengenalinya
Sepatutnya, artikel ini saya tulis semalam. Memandangkan sakit saya berganda, saya membatalkannya. Hingga ada yang bertanya.
Tidak, saya tidak pernah lupa bahawa hari ini adalah hari yang disinonimkan dengan baginda.
Mustahil saya akan melupakan satu susuk yang sangat memikat hati ini. Mana mungkin saya mampu mengenepikan peribadi yang menyentuh jiwa ini. Saya malu untuk menyatakan bahawa saya adalah salah seorang dari ummat baginda kerana ketidak layakan saya. Tetapi saya berbangga, bahawa Allah memilih saya menjadi salah seorang dari yang berpeluang untuk berada di bawah panji perjuangan baginda.
Maka, atas cinta, saya coretkan di sini.
Istimewa untuk baginda.
Rasulullah SAW.
Siapa mampu menandingi baginda?
Carikan pada saya, satu susuk peribadi yang berjaya mengimbangi kehidupannya dengan sempurna selain baginda. Munculkan sesiapa sahaja di atas muka bumi ini, yang mampu menyaingi sistematik kehidupan Rasulullah SAW. Saya cabar, untuk dipilih sesiapa sahaja yang mampu hidup seperti baginda.
Berikan pada saya.
Ternyata, baik dahulu, kini dan selamanya, tidak akan muncul manusia yang mampu menandingi baginda Rasul SAW.
Baginda yang pada siangnya menjadi kepala negara, pendakwah menyebar amanah Allah, ketua kepada keluarga, sahabat kepada sahabat, hakim kepada rakyat, strategis perang dan mengetuai 27 peperangan dalam kehidupannya, meluang masa dengan para miskin dan fakir, sempat bercanda dengan anak-anak kecil serta cucunya, masih memberikan hak perempuan-perempuan di sekelilingnya, dan mampu bermesra dengan sahabat-sahabatnya.
Tidak cukup dengan siangnya yang padat, malamnya pada saat manusia lain berehat, baginda bangun berdiri 4-5 jam untuk qiamullail sehingga bengkak-bengkak kaki baginda.
Berikan pada saya, siapa yang mampu menandingi manusia yang paling saya cintai ini?
Nescaya kamu akan melihat, tiada seorang pun yang akan mampu menandingi baginda.
Kerendahan hati baginda
Seorang yang sangat pemurah, seorang yang sangat penyayang, pemaaf, lembut hati, tenang dan menyenangkan. Tiada yang mampu menandingi sifat malunya, tiada yang mampu menyaingi ketegasan prinsipnya, tiada yang akan dapat menewaskan kebergantungannya kepada Allah SWT.
Akhlak baginda memancarkan cahaya. Memalukan sesiapa sahaja yang menentangnya.
Lihatlah akhlak baginda dengan kaum Taif yang melukakan baginda. Tidak diterima tawaran malaikat untuk menghapuskan kaum itu. Bahkan didoakan pula.
Lihatlah akhlak baginda ketika seorang perempuan datang untuk meminta dirinya dihukum hudud kerana berzina. Baginda suruh balik, dan membesarkan anak dahulu. Perempuan itu datang berkali-kali minta dihukum kerana rasa berdosa, tetapi baginda tidak mempercepatkan hukuman, malah menyuruh perempuan itu membesarkan anaknya terlebih dahulu hingga mampu menjamah makanan. Sungguh telus baginda menjatuhkan hukuman. Adil kepada perempuan itu, adil pula pada bayi yang baru lahir.
Lihatlah akhlak baginda ketika kaum Quraisy menumpahkan darah baginda di medan Uhud, hingga tercabut gigi geraham baginda yang suci di medan itu. Baginda menahan darah yang jatuh sambil berdoa: “Ya Allah, ampunkanlah kaumku itu. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui”
Lihatlah pada saat Abdullah ibn Ubai ibn Salul, kepala munafiq di Madinah meninggal dunia dalam keadaan kemunafiqannya masih tidak terubat. Rasulullah SAW yang mengetahui tempat Abdullah ibn Ubai ini di neraka, berkeras hendak mendoakannya agar selamat dari azab Allah. Allah menurunkan ayat menyatakan bahawa Abdullah ibn Ubai ini tetap tidak akan terampun walaupun Rasulullah SAW medoakannya sebanyak 70 kali. Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Maka, aku akan mendoakannya lebih dari 70 kali” hingga Allah menegur baginda.
Lihatlah akhlak baginda ketika cucunda baginda, Hassan dan Hussin bermain di atas tubuh baginda semasa sedang solat. Baginda memanjangkan sujudnya, sehingga ada sahabat selepas solat berkata kepada baginda: “Apakah wahyu turun semasa sujud tadi wahai Rasulullah? Aku menyangka malaikat maut datang mengambil nyawamu” Rasulullah SAW menjawab: “Cucundaku, Hassan dan Hussin bermain di belakangku. Maka, aku panjangkan sujudku”
Lihatlah akhlak baginda apabila Aisyah RH terjatuhkan cebisan roti. Pantas baginda mengambil cebisan roti itu, membersihkan debu yang ada padanya, dan memakannya dengan penuh rendah diri.
Lihatlah akhlak baginda apabila dia bertanya kepada isterinya: “Apakah kita punya makanan hari ini?” Bila dijawab tiada, baginda tidak ralat. Bahkan berkata: “Jika demikian, aku berpuasa”
Oh, siapakah yang tidak mencintai peribadi ini?
Aku menjawab kepada sesiapa yang menghina baginda
Orang-orang buta menghina baginda. Manusia-manusia yang tertipu memandang rendah baginda. Insan-insan yang berpaling daripada Allah melontarkan 1001 tohmahan pada susuk yang mulia ini.
Saya sebagai yang mencintainya, ingin menjawab di sini. Sesungguhnya segala tohmahan itu palsu, dan menandaakan kependekan akal penghinanya.
Dituduh susuk tubuh yang mulia ini gila seks kerana beristeri ramai.
Sedangkan, semua perkahwinan baginda adalah arahan Allah SWT dan mempunyai tujuan dalam dakwah dan penyebaran Islam. Jika benar baginda adalah seorang yang gila seks, pastinya baginda tidak menolak lamaran seorang perempuan, yang pada satu hari datang menyerah diri pada baginda. Perempuan itu datang dan berkata: “Wahai Rasulullah, jadikanlah aku ini milikmu” Tetapi Rasulullah menolak, kemudian berkata kepada sahabat-sahabatnya: “Adakah antara kalian yang ingin mengahwini perempuan ini?”
Dituduh susuk tubuh yang mulia ini seorang yang gila perang, dahagakan darah.
Sedangkan, tentera-tentera Islam diberikan pesan untuk tidak membunuh wanita dan kanak-kanak, tidak menganggu orang tua yang tidak berperang, tidak dibenarkan mencabut atau memotong kayu dan rumput sebarangan. Ketika peristiwa Pembukaan Kota Makkah, baginda memaafkan semua kaum Quraisy Makkah yang dahulunya menyeksanya. Maka, apakah ini tindakan seorang yang gila perang dan dahagakan darah?
Dituduh susuk tubuh yang mulia ini seorang yang tamak. Zakat itu adalah untuk dirinya.
Sedangkan, rumah baginda diketahui jarang berasap. Saidina Umar RA pernah menangis apabila memasuki bilik Rasulullah SAW. Didapati di dalam bilik itu, hanya terdapat penggiling gandum dan katil yang diperbuat dari pelepah tamar, yang apabila Rasulullah SAW bangun, terdapat beka biratan pelepah tamar itu pada belakang tubuh baginda. Baginda pernah didapati pada satu hari solat duduk. Apabila ditanya, baginda menjawab: “Aku terlalu lapar” Lapar hingga tiada tenaga berdiri. Baginda juga hakikatnya tiada rumah. Baginda hana ada bilik-bilik. Terlalu sempit. Apabila baginda solat malam, sering sahajar terlanggar kakinya dengan tangan isterinya. Apabila mengangkat tangan ke atas, sudah tersentuh silingnya. Jika benar manusia termulia ini mengutip zakat untuk masuk ke poketnya sendiri, sudah pasti dia tidak akan hidup demikian.
Dituduh susuk tubuh yang mulia ini mencipta Al-Quran dan wahyu itu bohong sebenarnya.
Sedangkan, apabila Aisyah RH dituduh melakukan perbuatan sumbang dengan Safwan selepas Perang Bani Mustalik, dalam peristiwa Hadith Ifki, baginda sendiri resah kerana tidak tahu siapakah yang betul. Wahyu ketika itu juga terputus untuk menguji ummat Islam yang diserang oleh orang munafiq yang mereka-reka cerita. Jika Al-Quran itu direka-reka, sudah pasti baginda akan pantas membersihkan nama Aisyah. Tetapi baginda ketika itu sampai tahap menyoal Aisyah RH: “Sekiranya kamu melakukan dosa, bertaubatlah kepada Allah. Sekiranya kamu benar, Allah akan membersihkan nama kamu” Sehingga menitis air mata isteri baginda itu.
Oh pentohmah-pentohmah diri yang suci ini, oh penghina-penghina yang mengeji peribadi yang murni ini, apakah kamu tidak memerhatikan keseluruhan kehidupannya yang mulia itu? Tidakkah kamu memerhatikan perawakannya yang cantik itu?
Ternyata, sesiapa yang berusaha merendah-rendahkan baginda, adalah serendah-rendah manusia yang hidup di atas bumi-Nya.
Apakah kamu mengenali baginda?
Wahai kamu yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal menyambut dengan pelbagai sambutan. Wahai kamu yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal baru sibuk berselawat. Wahai kamu yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal baru hendak mengadakan majlis keagamaan. Wahai kamu yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal baru pergi ke masjid-masjid. Wahai kamu yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal baru hendak mengadakan rancangan berbentuk kerohanian. Wahai kamu yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal, baru hendak mengingati baginda dengan alasan kecintaan.
Saya ingin bertanya.
Apakah kamu mengenali baginda?
Apakah kamu mampu mempertahankan baginda dengan baik apabila baginda dihina?
Apakah kamu mampu membuktikan baginda itu susuk termulia di atas dunia ini bila dia dikeji?
Apa yang telah kamu lakukan pada sunnah baginda? Apakah daripada baginda yang kamu bawa dalam kehidupan?
Kamu bising mengetahui apa yang pasangan kamu suka, kamu tahu apa yang selebriti kamu cinta, kamu tahu apa yang silibus peperiksaan mahu, kamu tahu apa yang pensyarah kamu senangi, tetapi apakah kamu mengetahui apakah yang baginda Rasulullah SAW kehendaki?
Kamu bising hendak tahu apa yang boss kamu benci, kamu mesti hendak tahu apa yang guru kamu larang, kamu mesti hendak tahu apa yang pasangan kamu tidak senangi, kamu mesti hendak tahu apakah cara menjawab yang perlu dihindari, tetapi tahukah kamu apakah yang baginda Rasulullah SAW hendak kita sisihi?
Sampai ke tahap mana kamu mengenali baginda?
Sekadar tahu 12 RabiulAwwal?
Heh. Tidak hairanlah kita ini hanya Islam omongan sahaja.
Baginda mencintai kita
Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesungguhnya aku merindui ikhwanku”
Sahabat-sahabat bertanya: “Siapakah Ikhwanmu ya Rasulullah?”
“Mereka yang tidak pernah melihatku, tetapi berpegang teguh pada ajaranku”
Baginda merindui kita. Apakah kita merindui baginda?
Rasulullah SAW pada saat nazak, bertanya kepada Jibril AS,
“Wahai Jibril, apakah yang telah Allah sediakan untuk ummatku?”
Tidak baginda bertanya apakah Allah telah sediakan untuknya, apakah balasan Allah untuk segala pengorbanannya, apakah bentuk nikmat akan dia perolehi di syurga sana. Tetapi saat-saat akhir hayatnya, baginda bertanyakan keadaan kita.
“Ummati, ummati, ummati…” Itulah yang baginda sebutkan saat-saat hendak berpisah dengan dunia fana ini. Kita mengetahui bahawa, kematian itu sakitnya ibarat ditusuk 3000 pedang. Rasulullah SAW sendiri menyatakan dalam satu sabdanya: “Wahai Aisyah, sesungguhnya sakarat itu sangat menyakitkan”
Tetapi pada saat itu, kita yang disebutkan baginda.
Apakah yang telah kita lakukan dengan kecintaan baginda ini?
Di akhirat nanti
Saat kesukaran yang teramat sangat. Saat matahari hanya berjarak sejengkal. Saat manusia semua tunggang langgang, kucar kacir dan kelam kabut. Saat terbukanya hijab alam ghaib di mata manusia. Saat yang amat menakutkan.
Ketika ini ummat manusia bergerak dari nabi ke nabi, rasul ke rasul memohon perlindungan. Nabi Adam tidak menerima. Nabi Ibrahim juga tidak menerima. Nabi Musa juga tidak menerima. Nabi Isa juga tidak menerima. Semua berkata: “Aku tidak pernah melihat Allah murka seperti hari ini, sesungguhnya Dia tidak pernah murka sebegini, dan mustahil untuk Dia murka seperti ini selepas hari ini. Hari ini aku aku, dan kalian dengan urusan kalian sendiri”
Tetapi, akan ada satu suara yang memanggil.
“Ummati, ummati, ummati”
Di tengah kedasyatan hari perhitungan itu, baginda muncul dinaungi awan. Menyelamatkan ummat baginda. Kisah akan perihal ummat baginda. Sedia memberikan syafaat pada ummat baginda.
Hingga sampai tahap, menangis bila melihat ummat baginda memasuki neraka.
Rasulullah SAW akan melihat nanti ada ummat baginda yang tidak menyahut seruan baginda, tetapi dibawa oleh malaikat-malaikat penjaga neraka. Maka baginda akan resah dan bertanya kepada Jibril:
“Wahai Jibril, itu ummatku. Kenapa mereka tidak bersamaku hari ini?”
Jibril akan menjawab: “Sesungguhnya, kau tidak mengetahui apakah yang mereka lakukan sepeninggalan kau”
Menangis baginda dengan tangisan kesedihan ketika itu.
Apakah kita yang akan menjadi penyebab tangisan baginda nanti?
Penutup: Sejauh mana cinta kita kepada baginda?
Sejauh mana?
Tidakkah kita malu dengan susuk tubuh yang mulia ini?
Sejauh mana cinta kita kepada baginda?
Lihatlah hari-hari kita? Bagaimana kita laluinya? Bagaimana kita isi kehidupan kita? Apakah dengan ajaran baginda, atau dengan ajaran manusia-manusia yang memushi baginda?
Kita berarak, membawa sepanduk, menonton televisyen rancangan maulid, tetapi bagaimana kehidupan kita sehari-hari?
Kita pergi usrah, pergi kuliah agama, hafal sirah Rasul, belajar kuliah syariah, tetapi bagaimana pembumian amalan kita?
Kita rasa berat untuk dicucuk jarum atas perjuangan menjaga agama Allah SWT. Baginda telah berikat perut, memerah keringat, tertumpah darah dalam perjuangan ini.
Apakah yang telah kita balas terhadap pengorbanan baginda?
Tidakkah kita ada rasa hendak berterima kasih kepada susuk mulia ini? Tubuh suci yang telah sakit disebabkan hendak menyampaikan iman kepada kita? Tubuh suci yang telah dilukakan musuh kerana hendak menyampaikan Islam kepada kita? Tubuh suci yang telah diburu kerana hendak menyampaikan amanah Allah kepada kita? Tubuh suci yang telah berlapar kerana hendakkan kita merasai nikmat kehidupan yang sebenar.
Kita, baru diajak meninggalkan couple, sudah bising satu dunia. Baru diajak menutup aurat, sudah rasa macam hendak kiamat. Baru diajak meninggalkan kata mencarut, sudah rasa macam hendak mati.
Ummat jenis apakah kita ini?
Berbanding terluka dengan orang kafir yang melukis karikatur Rasulullah, yang menghina Rasulullah, saya lebih terluka dengan ummat Islam yang meninggalkan ajaran Rasulullah SAW.
Rujukan(hanya rujukan. Bukan saya copy paste ya. Tulisan tetap tulisan saya):
- Raheeq Al-Makhtum – Karangan Sheikh Abdurrahman Mubarak Furi
- Life of Muhammad – Sheikh Abdul Hamid
- Muhammad from The Early Sources – Martin Lings
- Hayat Ar-Rasul SAW – Sheikh Nabeel ‘Awadiy
dicopy paste from : http://ms.langitilahi.com/
written by : Hilal Asyraf
well, I will reach 21 years old soon, 16 March… but of course, absolutely, confidently I can’t write like him, even someone senior pun, if they don’t have any knowledge or empty brain pun can’t write like him.
so, age is nothing, but our maturity is the most important thing.
p/s : terharu ngan penulisan dia pasal Rasulullah s.a.w, no matter how mad am I right now, I will be patient, this small matter between me and her is nothing compared to Rasulullah s.a.w story… Sabar itu Indah
No comments:
Post a Comment